Empat individu terlibat aktiviti perhimpunan haram berjaya ditahan.

TAWAU : Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan perhimpunan haram di Kampung Baru, Batu 2, Jalan Apas di sini, pada 12 Mei lalu.

Terdahulu, polis menyiasat gambar dan satu video tular yang menyaksikan lebih 100 individu lelaki berhimpun sambil mengejutkan orang kampung untuk bersahur di Kampung tersebut kira-kira jam 2.40 pagi.

Kejadian itu, mendapati sekumpulan remaja termasuk kanak-kanak berumur 12 hingga 25 tahun melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di daerah ini.

Sehubungan itu, polis meminta seorang suspek Jobby Basri,30, yang memuat naik gambar sambil mengajak orang ramai melakukan demonstrasi di dalam akaun facebooknya untuk hadir ke Balai Polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya berjaya menangkap tiga lelaki termasuk dua warga asing pada pada Rabu lalu.

“Seorang lagi suspek warga tempatan berjaya ditangkap pada Jumaat baru-baru ini untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek yang berumur 24 hingga 34 tahun itu mengaku terlibat dalam perhimpunan tersebut,”katanya dalam kenyataan media di sini semalam

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan didapati negatif dadah semasa ujian saringan air kencing dilakukan.

“Namun, berdasarkan semakan jenayah lampau mendapati salah seorang suspek pernah disabitkan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan rompak berkumpulan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan,”katanya

Peter berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 25 Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

“Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 (1)(e) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah, manakala suspek warga asing disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.