Dua lelaki ditahan membawa barang kawalan minyak Petrol Ron95 tanpa permit

SANDAKAN: Dua lelaki ditahan Polis Marin (PPM) kerana membawa barang kawalan minyak Petrol Ron95 tanpa sebarang permit daripada pihak berkuasa di kawasan laut Tanjung Aru, Sandakan awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, DSP Rusdin Bin Banin berkata sepasukan Pegawai dan anggota yang sedang menjalankan tugas risikan di kawasan tersebut mendapati bot suspek bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Semasa pemeriksaan dijalankan ke atas bot tersebut mendapati terdapat dua (2) orang lelaki iaitu juragan dan awak-awak yang berumur 30 dan 23 tahun berada di dalam bot, katanya dalam kenyataan medianya, di sini.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut mendapati terdapat barang kawalan iaitu sebanyak 21 jeriken minyak petrol yang dianggarkan berjumlah 600 liter dengan nilai anggaran RM1,230.00. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot yang digunakan dianggarkan berjumlah RM27,230.00.

Jurangan terbabit juga gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas semua barang kawalan yang dibawanya.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pasukan Polis Marin menyarankan kepada masyarakat maritim menyalurkan maklumat kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi whatsApp ke talian 0132831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.