Cubaan seludup barang kawalan gagal

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan dua lelaki

menyeludup keluar barang kawalan termasuk 27 tong gas cecair petroleum (LPG) tanpa permit di perairan Kuala Sungai Melayu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata pihaknya mengesan dua bot kargo mencurigakan bergerak secara bersama dari arah Sungai Tawau menuju ke Pulau Sebatik, iaitu pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Kuala Sungai Melayu, kira-kira jam 5.15 petang.

Beliau berkata, curiga dengan pergerakan itu, aset maritim yang sedang dalam tugasan Ops Sejahtera kemudiannya menahan kedua-dua bot kargo terbabit untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan awal ke atas bot kargo pertama yang dikendalikan lelaki tempatan berusia 55 tahun menemukan lima tong gas LPG yang disembunyikan di sebalik timbunan kotak polysterin.

“Pemeriksaan ke atas bot kargo kedua dengan seorang tekong warga tempatan berumur 49 tahun, menemukan muatan barangan runcit serta 22 tong gas LPG berisi yang disembunyikan di ruang tertutup di dalam bot kargo tersebut,” katanya menerusi kenyataan media di sini, malam tadi.

Shahrizan berkata, siasatan lanjut juga mendapati kedua-dua juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan pemilikan barangan kawalan yang dibawa.

Katanya, kedua-kedua juragan ditahan bersama bot kargo serta barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk dua bot kargo berserta enjin dianggarkan berjumlah RM80,000 dan kes masing-masing disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah(JPDS) 2002,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *