Cekik anak lima tahun sebelum bagi minum racun

BEAUFORT: Seorang bapa bertindak kejam dengan mencekik sebelum memberi minum racun rumput kepada anaknya yang berumur lima tahun dalam satu kejadian di Kampung Bundu Kuala Penyu di sini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai berlaku apabila suspek berumur 43 tahun marah kepada isterinya yang ingin pulang ke kampung.

“Hasil siasatan mendapati sebelum kejadian suspek dan isterinya bertengkar disebabkan tindakan isteri suspek mahu pulang ke kampung bersama anak-anak ke Keningau namun perkara itu dibantah suaminya.

“Suspek kemudiannya bertindak luar kawalan dengan memberi anak perempuan mereka kopi yang sudah dibancuh bersama racun rumput.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut membawa anak perempuannya ke tingkat atas rumah sebelum mencekik mangsa,” katanya.

Menurutnya perkara itu diketahui ibu mangsa selepas kejadian diceritakan oleh anak sulung mereka yang berumur lapan tahun.

“Laporan polis sudah dibuat dan mangsa kini sudah dirujuk ke Hospital Kuala Penyu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang alahan berikutan kandungan racun adalah sedikit.

“Polis juga sedang menjalankan operasi untuk mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Penderaan Kanak-kanak),” katanya -UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.