Bot dinaiki 11 warga asing diarah patah balik ke negara jiran

SANDAKAN: Sebuah bot yang dinaiki oleh 11 orang lelaki dan wanita warga asing dari Filipina diarah patah balik ketika cuba menceroboh masuk perairan negara di kawasan Pulau Berhala, di sini lewat petang kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan DSP Rusdin Banin berkata, PPM Sandakan mengesan bot terbabit dalam keadaan yang mencurigakan dari perairan negara jiran yang memasuki perairan negara sebelum ianya berjaya dipintas.

“Hasil pemeriksaan polis mendapati seramai sembilan orang lelaki dan dua wanita tidak memiliki sebarang dokumen dan mengakui berasal dari Filipina,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pengusiran telah dibuat dan diiring keluar dari perairan negara serta diarahkan supaya tidak memasuki perairan negara selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Rusdin berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197atau berhubung ke Gerakan PPM Sandakan di talian 089-221453 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.-SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *