Bekas pengurus kanan GLC Sabah dipenjara enam bulan, denda RM295,000

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengurus kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah hari ini dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM295,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini  selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah pada 2017.

Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Sufian Abdul Ghani, 51, dan memerintahkannya dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi kesalahan pertama, Sufian dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM220,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda; bagi pertuduhan kedua, dia turut dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 atau sebulan penjara manakala kesalahan ketiga, tertuduh dihukum enam bulan penjara dan denda RM50,000 atau sebulan penjara.

Abu Bakar memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini. Sufian akan menjalani hukuman penjara itu selama 11 bulan kerana gagal menjelaskan denda.

Bagi pertuduhan pertama, Sufian didakwa secara rasuah menerima wang RM44,000 daripada Nordin Abdillah melalui cek Public Islamic Bank milik syarikat Shadaz Enterprise yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB bank atas nama syarikat Binoun Jaya milik Sham Charles William.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 9 Mac 2017 di CIMB Bank Cawangan Inanam, Inanam Point, Jalan Tuaran.

Lelaki itu juga didakwa secara rasuah menerima wang RM5,000 melalui kiriman wang Public Bank daripada Phang Thou Kim yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya pada 16 Okt 2017 bertempat di Maybank Cawangan Karamunsing, Kota Kinabalu.

Sufian didakwa secara rasuah menerima cek Public Bank berjumlah RM10,000 daripada Phang di sebuah rumah di Jalan Kembura, Kampung Seroja, Likas, Kota Kinabalu pada 4 Mei 2017.

Semua kesalahan itu adalah sebagai dorongan agar segala urusan tuntutan kerja dilakukan oleh syarikat Shadaz Enterprise terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik Sabah Electricity Sdn Bhd menjadi lancar, selain untuk memastikan syarikat tersebut mendapat projek kerja-kerja kecemasan daripada agensi terbabit.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semasa rayuan, peguam Viviana Chew yang mewakili Sufian memaklumkan  tertuduh yang kini bekerja sebagai tutor sambilan di sebuah kolej swasta tempatan dengan pendapatan RM1,400 setiap semester mempunyai masalah kesihatan dan menanggung keluarga.

Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Baharom memohon hukuman sewajarnya terhadap tertuduh melihat kepada keseriusan kesalahan dilakukan selain bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *