Bekas Pengarah KPTM Semporna didakwa 12 pertuduhan salah guna kedudukan

TAWAU: Bekas Pengarah Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Semporna, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan RM6,797.50 lima tahun lalu.

Tertuduh, Saifulkahar Shariff, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan laporan Berita Harian tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan meluluskan 12 Borang Permohonan Perolehan (Bekalan/Perkhidmatan/Kerja) (PTD/01/03) bagi pembelian tiket kapal terbang untuk isteri dan anak lelakinya dari Tawau ke Kuala Lumpur, dengan nilai keseluruhan RM6,797.50.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengajian Berterusan di Ibu Pejabat KPTM Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat KPTM Cawangan Semporna, antara November 2017 sehingga Ogos 2018.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda suapan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Nurul Izzati Sapifee, menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bersama beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap bulan, selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Siti Nurul Ain Sahidah Pitting mewakili tertuduh, memohon mahkamah mempertimbangkan wang jaminan rendah RM5,000 mengambil kira faktor anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan enam anak, selain turut menanggung perbelanjaan adik beradik dan ibu di kampung.

Awang Kerisnada kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 April depan sebagai tarikh pengurusan kes.-SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *