Anjur perhimpunan: Jobby Bari mengaku salah, didenda RM20 ribu

TAWAU: Jobby Bari didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah di i Mahkamah Majistret Tawau kerana terlibat dalam penganjuran satu perhimpunan di daerah ini.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Jobby Bari, 30, mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut Kertas pertuduhan, Jobby didakwa terlibat dalam aktiviti perhimpunan dengan kehadiran ramai di hadapan bangunan Tinagat Plaza pada 12 Mei lalu, jam 3.40 pagi, sehingga menyukarkan melaksanakan penjarakan sosial.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 P.U. (A) 225 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) Peraturan yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum denda tidak melebihi 50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Jobby dihukum denda RM20,000 dan jika gagal bayar penjara lima bulan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Human Husin, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tawau, Assisten Komisioner Peter Umbuas mengeluarkan kenyataan pihaknya sedang mencari Jobby bagi membantu siasatan kes perhimpunan tersebut pada 16 Mei lalu.

Polis kemudiannya berjaya menahan tiga individu yang disyaki terlibat dalam perhimpunan tersebut dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di kampung Maspul Batu 2 ½ Jalan Apas Tawau pada 26 Mei lalu.

Bagaimanapun, Jobby berjaya ditahan kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 Mei lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Sumber Berita: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *