9 PATI ditahan dalam OPS Benteng
TAWAU : Satu operasi terancang bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dilaksanakan sepasukan terdiri daripada dua pegawai polis dan sembilan anggota Unit Gempur Marin (UNGERIN) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (4) Sabah bersama empat anggota Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Tawau pada awal pagi hari ini.
Pegawai Memerintah Markas Operasi PPM Tawau, DSP Mohd Nazari Ismail berkata “operasi di kawasan Kampung Tawau lama telah dijalankan berdasarkan risikan dan maklumat URM Tawau.
Pada jam 5.05 pagi itu, di sebuah rumah tidak bernombor yang disyaki menempatkan PATI telah diserbu dan diperiksa pasukan berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini.
Mereka yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berumur lingkungan 16 tahun hingga 35 tahun telah ditahan.Pada jam 5.35 pagi, pasukan serbuan telah memeriksa sebuah lagi lokasi yang disyaki menjadi tempat transit bagi PATI di kawasan sekitar kampung tersebut.
Hasil pemeriksaan lokasi di kebun pisang telah menjumpai 2 orang lelaki dan 2 orang perempuan sedang bersembunyi berumur lingkungan 14 tahun hingga 42 tahun. Mereka juga tidak mempunyai sebarang pengenalan diri yang sah, jelasnya.
Semua PATI berkenaan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut. Kes akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Tawau atas kesalahan dibawah Akta Imigresen 1961.
Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah mengalu-alukan masyarakat agar menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan mereka melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 agar tindakan dapat dilaksanakan.
Sumber Berita : Pasukan Polis Marin W4 Sabah