100-BATANG KAYU NIBONG DIRAMPAS DI INDERASABAH

TAWAU: Kira-kira 100-batang Kayu Nibong dirampas oleh pasukan Zon Maritim Tawau di kedudukan 0.17 batu nautika timur muara Sungai Inderasabah, sabtu lepas.

Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, Pasukan Maritim yang menjalankan tugas rondaan Ops Sejahtera menemukan longgokan Kayu Nibong terapung di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam dalam kenyataan media berkata, kayu berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Katanya, siasatan mendapati tiada sebarang maklumat mengenai pemilik longgokan Kayu Nibong yang ditinggalkan tanpa pengawasan.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima longgokan diikat dengan 20-batang Kayu Nibong pelbagai saiz yang dianggarkan sebanyak 100-batang.

Menurut Siva Kumar, suspek dipercayai menggunakan modus operandi dengan meninggalkan Kayu Nibong yang diseludup berhampiran muara sungai bagi mengelak dari dikesan dan ditahan pihak berkuasa.

Kesemua Kayu Nibong dirampas dan ditarik ke muara Sungai Inderasabah untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut disiasat mengikut Enakmen Hutan 1968 dan nilai keseluruhan rampasan kayu nibong berkenaan dianggarkan berjumlah 15 ribu ringgit dan kesemua rampasan diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Sabah Tawau untuk siasatan lanjut.

— RTM

Leave a Reply

Your email address will not be published.