Vaksin CanSinoBIO atau SinoVac adalah pilihan saya: Yong
Oleh: Ranya Saai
KOTA KINABALU: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee memberitahu bahawa beliau cenderung untuk memilih vaksin CanSinoBIO apabila giliran beliau tiba untuk diberi vaksin COVID19.
Menurutnya, pengambilan vaksin CanSinoBIO hanya memerlukan sembilan langkah dengan hanya satu dos vaksin yang diperlukan.
“Selepas satu dos, penerima vaksin ini akan diberikan kad vaksin, yang juga diberi nama pasport vaksin. Bagi empat jenis vaksin yang lain, diperlukan dua dos yang melibatkan lapan belas langkah sebelum vaksin dianggap berkesan dan sebelum kad vaksin diberikan,”
โBerdasarkan penerbitan rasmi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), prosedur setelah mengambil setiap dos adalah untuk memantau AEFI (After Effects Following Immunisation).
“Dalam bahasa mudahnya, AEFI adalah kesan sampingan. Jadi, jika kita mengambil dua dos, maka ada dua kemungkinan mendapat kesan sampingan dan mungkin, dua kali jumlah vaksin.
“Dengan CanSinoBIO, hanya ada sekali perubahan kesan sampingan, jika ada,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Yong turut berkata vaksin CanSinoBIO adalah satu daripada lima vaksin yang kini diluluskan untuk digunakan di Malaysia.
“Sekiranya CanSinoBIO tidak disediakan maka pilihan kedua saya adalah SinoVac, walaupun SinoVac juga memerlukan dua dos.
“Ini kerana perjalanan ke luar negara saya kebanyakannya berada di Asia, termasuk China. Sudah jelas bahawa saya akan memilih vaksin buatan China. Ia juga berlaku bahawa Sinovac dan CanSinoBIO digunakan secara meluas di negara Asia seperti Malaysia, Indonesia, Filipina, Indochina, Turki, Pakistan dan China.
โMemiliki kad vaksin Sinovac atau CanSinoBIO memberi saya keyakinan yang lebih besar bahawa perjalanan saya di Asia, termasuk China, tidak akan terhalang.
“Bagi CanSinoBIO dan Sinovac, keyakinan saya berdasarkan laporan yang boleh dipercayai bahawa kedua-dua vaksin ini telah diuji dalam jangka masa yang paling lama dan diberikan pada populasi terbesar manusia tanpa laporan mengenai kesan sampingan yang serius atau kesan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Yong juga mencadangkan agar kerajaan membenarkan hospital swasta memberikan salah satu daripada lima vaksin yang diluluskan kepada mana-mana orang yang sukerala diberi suntikan vaksin.
Menurutnya, membenarkan hospital swasta memberikan vaksin juga akan menjimatkan wang kerajaan disamping memberi individu pilihan untuk memilih salah satu daripada lima vaksin yang dibenarkan.