Vaksin CanSino untuk penduduk pulau, Sabah, Sarawak

KUALA NERUS: Selain Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli, kerajaan juga berhasrat membekalkan vaksin satu dos seperti CanSino kepada penduduk di pulau, Sabah dan Sarawak.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan langkah itu dalam program imunisasi berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata pihaknya akan berbincang untuk menghantar pasukan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 ke pulau.

“Itupun kita akan bincang untuk (penggunaan) satu dos ini (dan) kita akan hantar ke Sabah, Sarawak dan pedalaman.

“Mungkin kawasan pulau kita akan guna vaksin jenis CanSino,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin Stadium Gong Badak di sini hari ini.

Terdahulu Khairy yang ditemui media di Kota Bharu dilaporkan berkata kerajaan akan membekalkan vaksin CanSino kepada Kelantan dan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli.

Media sebelum ini melaporkan, dua jenis vaksin COVID-19 yang hanya memerlukan satu suntikan dos, masing-masing buatan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata kelulusan itu dicapai melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali-359 hari ini.

Sumber Berita: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *