Semua yang layak diharap daftar sebagai penerima vaksin COVID19: PM
KUALA LUMPUR (Berita Harian): Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat Malaysia yang layak mendapat suntikan vaksin COVID19, mendaftar sebagai penerima apabila pendaftaran dibuka dalam waktu terdekat dan mendapatkan suntikan seperti dijadualkan.
Perdana Menteri berkata vaksinasi penting untuk memastikan sasaran Malaysia membentuk imuniti berkelompok berjaya dicapai, apabila sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin berkenaan.
“Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID19 daripada menjadi lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia akan melaksanakan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan bermula Rabu ini melalui tiga fasa, dengan fasa pertama membabitkan kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan yang dijadualkan sehingga April depan.
Fasa kedua pula, katanya, dikhususkan untuk 9.4 juta warga emas berusia 65 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU), yang dijadualkan antara April hingga Ogos depan.
Beliau berkata, fasa ketiga yang akan bermula Mei ini hingga Februari tahun depan adalah kepada penduduk di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
“Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam fasa dua dan tiga, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan ini, sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa satu dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada kementerian dan pihak yang terbabit dalam memastikan ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID19 ke Malaysia, hari ini.
“Alhamdulillah, kumpulan pertama bekalan vaksin COVID19 Pfizer-BioNTech selamat tiba pada jam 10 pagi hari ini, 21 Februari 2021, di Advanced Cargo Centre (ACC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), melalui penerbangan MH604 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).
“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID19 (JKJAV) dan semua pihak serta agensi yang terbabit, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines Berhad untuk pastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia,” katanya.- SUMBER: BERITA HARIAN