Semua kluster di Sabah tamat

KOTA KINABALU: Semua kluster COVID-19 yang pernah diisytiharkan di Sabah sebelum ini sudah ditamatkan selepas tiada lagi kes baharu berkaitan kluster terbabit direkodkan.

Bagi tahun ini saja, lebih 40 kluster COVID-19 dengan kebanyakannya membabitkan jangkitan dalam institusi pendidikan diisytiharkan di seluruh negeri sejak Januari lalu.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata semua kluster terbabit sudah ditamatkan dengan yang terakhir Kluster Jalan Tambalang di daerah Tuaran diisytiharkan tamat hari ini.

“Kluster Jalan Tambalang, Tuaran ditamatkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini. Ini bermakna tiada lagi kluster yang aktif di Sabah,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Kluster Jalan Tambalang itu yang dikategorikan dalam kumpulan golongan berisiko diisytiharkan pada Februari lalu di sebuah rumah kebajikan di daerah Tuaran.

Bagaimanapun, katanya risiko jangkitan COVID-19 di Sabah kekal tinggi dengan peratusan jangkitan sporadik sebanyak 58.4 peratus hari ini.

Hari ini juga menyaksikan 11 daerah di Sabah tidak lagi berada dalam zon merah COVID-19, iaitu tujuh daerah dalam zon kuning dan empat daerah dalam zon jingga, manakala baki 16 daerah lagi masih dalam zon merah.

Daerah yang kini berada dalam zon kuning ialah Nabawan, Kunak, Beluran, Semporna, Tongod, Kinabatangan dan Kalabakan, manakala Lahad Datu, Kota Belud, Telupid dan Pitas dalam zon jingga.- BH

Leave a Reply

Your email address will not be published.