Sasaran kadar penerima vaksin di negeri Sabah 30,000 sehari
KOTA KINABALU : Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meninjau pelaksanaan program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV), Wisma Wanita, Kota Kinabalu. Dalam sidang media, Ketua Menteri memaklumkan bahawa kadar semasa penerima vaksin di negeri Sabah adalah 13,000 sehari.
Bermula 1 Julai 2021, kadar vaksin yang disasarkan adalah 30,000 orang sehari.
Pelbagai usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan akses rakyat kepada vaksin seperti membuka lebih banyak PPV.
Ini termasuklah PPV Wisma Wanita (PPV WW), iaitu salah satu daripada 16 PPV awam yang baru dibuka pada bulan ini.
Setakat ini, PPV WW mempunyai kapasiti untuk melaksanakan vaksinasi pada kadar 800 sehari.
PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga telah dibuka bermula 14 Jun 2021 dengan kapasiti 1,000 orang setiap hari. Program Mobile Outreach ke kawasan pedalaman juga telah bermula sejak 18 Mei 2021 dan setakat ini, sebanyak 26 pasukan telah beroperasi.
Ketua Menteri menyeru agar semua rakyat di negeri ini segera mendaftar diri untuk vaksinasi dan berharap imuniti berkelompok dapat dicapai pada akhir tahun ini sekali gus mengekang penularan COVID-19.