Sabah sedia pengurusan kuarantin rakyat pulang umrah, luar negara

Foto Bernama

KOTA KINABALU – Rakyat Sabah yang menunaikan umrah atau ke luar negara sebelum 28 Disember dibenarkan untuk meneruskan perjalanan masuk ke negeri itu sekembalinya mereka ke Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, bagi rakyat Sabah yang bertolak menunaikan umrah dan ke luar negara selepas tarikh itu pula, mereka diwajibkan menjalani kuarantin selama tujuh atau 10 hari di Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, bagi yang bertolak sebelum 28 Disember, mereka hendaklah menjalani kuarantin di Sabah, tertakluk kepada ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) yang disahkan negatif sebelum bertolak pulang ke negeri itu.

“Kerajaan Sabah akan menyediakan perkhidmatan doktor berdaftar bagi ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR) di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) secara percuma kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tempat penginapan disediakan bagi mereka yang disahkan positif Covid-19 dan perlu menjalani tempoh kuarantin di ibu negara, selain bantuan juga disalurkan melalui Yayasan Kebajikan Sabah yang diselaraskan bersama Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur.

Bagi yang bertolak selepas 28 Disember, Hajiji berkata, kos kuarantin termasuk penginapan ditangung para jemaah atau ejen pelancongan yang menawarkan pakej umrah, dengan kos berkaitan perlu dimasukkan dalam pakej umrah disediakan.

Beliau berkata, kos kuarantin termasuk penginapan bagi rakyat Sabah yang pulang dari luar negara juga adalah atas tanggungan sendiri.

“Syarat-syarat kuarantin ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan Sabah dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, kemasukan individu ke Sabah adalah tertakluk kepada syarat-syarat pihak berkuasa negeri yang sedia ada,” katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.