Sabah minta kerajaan persekutuan lantik syarikat Sabah, Sarawak edar vaksin COVID-19

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah meminta agar kerajaan persekutuan melantik ejen atau syarikat dari Sabah dan Sarawak untuk mengedar bekalan vaksin COVID-19 di kedua-dua negeri terbabit.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, cadangan terbabit dikemukakan sebagai usaha meningkatkan kualiti dan kemudahan kesihatan rakyat dua negeri itu tanpa membiarkan peluang sedemikian dimonopoli syarikat dari Semenanjung Malaysia.

“Saya berharap ejen pengedar dari Sabah dan Sarawak akan diberikan kuota pengedaran di kedua-dua negeri tersebut tanpa peluang itu hanya dimonopoli oleh pengedar-pengedar dari Semenanjung.

“Kita menyambut baik keputusan kerajaan pusat untuk mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 daripada beberapa syarikat luar negara dalam usaha menangani impak pandemik wabak itu.

“Dalam usaha meningkatkan kualiti dan kemudahan kesihatan bagi rakyat Sabah, saya berharap pendekatan yang lebih baik akan digunakan dan dipertimbangkan oleh kerajaan pusat, terutamanya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, beliau yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) itu turut berkata cadangan terbabit penting bagi mempercepatkan dan meningkatkan keberkesanan proses pengedaran vaksin di Sabah yang menjadi negeri yang paling teruk terjejas akibat COVID-19.

“Sabah negeri yang cukup luas jadi saya yakin sekiranya pelantikan pengedar dibuat dalam kalangan ejen atau syarikat tempatan dari Sabah, ia akan memudahkan proses pengedaran vaksin untuk manfaat rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau juga turut berpandangan bahawa syarikat dari Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan peluang untuk dilantik sebagai pengedar vaksin dan tidak hanya tertumpu kepada negeri di Semenanjung Malaysia sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *