Sabah kembali catat kes harian COVID-19 bawah 200

KOTA KINABALU: Sabah kembali mencatat jangkitan harian COVID-19 yang rendah di bawah 200 pesakit baharu dengan hanya 167 kes direkodkan hari ini, berbanding 234 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kadar jangkitan sporadik atau kes bergejala

juga turun ke 43.71 peratus hari ini, kali pertama di bawah 50 peratus sejak kenaikan mendadak kes beberapa bulan lalu.

Katanya, peratusan yang lebih rendah itu menunjukkan risiko jangkitan COVID-19 di Sabah juga berkurangan dan dijangka menyebabkan kes baharu terus berkurangan.

Beliau berkata, perkembangan positif itu disokong tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik dalam kalangan masyarakat negeri ini selepas beberapa bulan mencatat jangkitan COVID-19 yang tinggi bermula Februari lalu.

“Tahap pematuhan yang tinggi ke atas semua SOP adalah faktor utama yang menjadikan jumlah jangkitan harian di Sabah kini lebih rendah.

“Justeru, adalah amat diharapkan disiplin tinggi yang ditunjukkan rakyat Sabah akan terus diamalkan walaupun negara kita kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

“Kunci kejayaan kita menjadikan Sabah antara negeri yang mencatatkan kes harian yang terendah sejak kebelakangan ini ialah tahap pematuhan SOP yang tinggi dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Masidi berkata jangkitan COVID-19 di kebanyakan daerah menunjukkan tanda penstabilan dengan perubahan kes harian pada kadar yang lebih rendah dan terkawal.

Katanya, jangkitan tertinggi hari ini hanya 26 kes iaitu di daerah Kota Kinabalu, diikuti daerah Papar dengan 21 kes, Penampang (17 kes), Tuaran (14 kes), Tambunan dan Sandakan masing-masing 12 kes serta Putatan (10 kes).

Beliau berkata, sebanyak 16 daerah lagi hanya mencatat kes satu angka, manakala empat daerah iaitu Kuala Penyu, Telupid, Kunak dan Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu.

“Pemerhatian mendapati daerah yang jauh dari pusat bandar besar dengan jumlah penduduk yang kecil secara konsisten mencatatkan jumlah kes harian yang lebih rendah setiap hari, malah kadang-kadang tanpa mencatat sebarang kes baharu,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *