Sabah kekal catat empat angka kes harian COVID-19 – Masidi

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 sebanyak 2,174 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 339,554 kes.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Sabah kekal mencatatkan sebanyak empat angka laporan kes harian.

“Sebanyak 11 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Tawau, dua kes di Penampang dan masing-masing satu kes di daerah Ranau, Nabawan, Kudat, Beaufort, Keningau dan Kota Kinabalu.

“Pesakit sedang menerima rawatan seramai 1,739 iaitu 1,105 orang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam (622), Pusat Tahanan Sementara (PTS) (11) dan satu seorang di fasiliti swasta,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sementara itu dalam perkembangan sama Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata seramai 45,381 atau 11.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Sabah sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

“Jumlah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 411,400 kanak-kanak dalam kumpulan sasar di negeri ini yang layak divaksin, setakat ini.

“Sebanyak 246 kes hari ini membabitkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 121 daripadanya adalah kanak-kanak bawah umur lima tahun yang belum layak mendapat vaksin,” katanya.

Masidi berkata, bagi penduduk remaja di Sabah pula seramai 313,653 atau 73.59 peratus sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Sementara itu, seramai 2,099,720 individu atau 77.29 peratus penduduk dewasa Sabah sudah menerima dua dos vaksin lengkap.

Leave a Reply

Your email address will not be published.