Sabah catat kes sembuh COVID-19 tinggi

KOTA KINABALU: Sabah mencatat jumlah kes sembuh COVID-19 yang tinggi dengan seramai 5,294 pesakit, berbanding jangkitan baharu sebanyak 2,158 kes, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata setakat semalam hanya 1,674 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Katanya, jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan kritikal pula hanya 72 orang merangkumi 64 orang di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau ‘repurposed critikal care’ serta lapan pesakit di wad terbuka, manakala 29 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Jumlah pesakit baharu COVID-19 juga majoritinya dalam Kategori 1 dan 2 iaitu seramai 2,143 orang atau 99.31 peratus daripada 2,158 kes, diikuti masing-masing enam kes dalam Kategori 3 dan Kategori 4 serta tiga kes dalam Kategori 5,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Secara keseluruhan, Sabah hanya mencatat penurunan 16 kes jangkitan COVID-19 menjadikan kes baharu berkurang kepada 2,158 semalam, berbanding 2,174 kes kelmarin.

Sebanyak enam kes kematian turut dilaporkan semalam iaitu masing-masing satu kes di daerah Kota Marudu, Tawau, Penampang, Beluran, Lahad Datu dan Kota Kinabalu berbanding 11 kes kelmarin.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan Sabah memutuskan keseluruhan sektor awam di negeri ini beroperasi pada kapasiti penuh mulai semalam.

Beliau berkata, pengecualian hanya diberikan kepada penjawat awam yang dijangkiti COVID-19 dan mereka yang menjadi kontak rapat berdasarkan status semasa dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan dengan itu, bagi membendung penularan virus dalam kalangan penjawat awam ketika bertugas, adalah dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan,” katanya.

Sebelum ini beberapa jabatan negeri melaksanakan semula penggiliran kakitangan yang datang ke pejabat bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan kakitangan berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 di seluruh negeri sejak bulan lalu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *