Sabah benarkan aktiviti masjid, surau dilaksanakan ketika PKPB

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah memutuskan untuk memberi kebenaran aktiviti masjid dan surau ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun memperincikan beberapa ketetapan yang harus dipatuhi.

“Aktiviti di masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat berjemaah lima waktu dan solat jumaat di semua zon negeri Sabah.

“Bilangan jemaah solat lima waktu di masjid dan surau bagi seluruh zon di negeri Sabah ialah satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau.

“Bagi bilangan ahli solat jumaat adalah mengikut keluasan dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal.

“Berkenaan aktiviti atau program masjid dan surau adalah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam seperti kuliah Maghrib, Dhuha dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sabah, hari ini.

Sementara itu, Masidi turut berkata aktiviti kelas agama dan majlis akad nikah juga dibenarkan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Aktiviti kelas agama dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid tidak melebihi lima jam dan bilangan peserta tidak melebihi 20 orang dengan mematuhi semua SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak berwajib.

“Selain itu, majlis akad nikah dibenarkan diadakan di dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak melebihi 20 orang mengikut saiz ruang majlis.

“Hanya jamuan makan dan minum dalam bentuk bungkusan sahaja yang dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi turut menjelaskan had umur kanak-kanak yang dibenarkan memasuki ke masjid dan surau ketika PKPB adalah yang 10 tahun ke atas sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *