Rakyat Sabah mula biasa amalkan norma baharu, patuhi SOP elak penularan wabak COVID-19
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah yakin rakyat negeri ini sudah membiasakan diri sepenuhnya dalam norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun mengulas mengenai gambar sebuah pusat membeli-belah sekitar Kota Kinabalu penuh dengan pengunjung yang tular di sosial media, semalam.
“Berhubung gambar yang telah menjadi tular itu, kerajaan negeri berpandangan bahawa perkara berkenaan adalah biasa menjelang musim perayaan.
“Rakyat Sabah yang merayakan perayaan Hari Natal telah mula membuat persiapan bagi menyambut perayaan berkenaan pada hujung bulan ini.
“Pada masa yang sama, rakyat juga telah mula membuat persediaan untuk membeli keperluan dan peralatan persekolahan anak masing-masing.
“Sungguhpun demikian, berdasarkan pemantauan dan penelitian, setakat ini, masyarakat masih mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas secara langsung mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sabah, hari ini.
Sementara itu, Masidi turut berkata pihaknya juga mendapati sama ada pengunjung dan golongan peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Para pengunjung masih memakai pelitup separuh muka dan menjaga jarak sosial walaupun terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran.
“Selain itu, peniaga juga didapati tidak melanggar SOP yang telah ditetapkan dan melaksanakan langkah pencegahan termasuklah mengimbas atau mendaftar kehadiran pengunjung dalam aplikasi MySejahtera, merekod kedatangan di buku log secara manual, menjalankan pemeriksaan suhu, menyediakan cecair pembasmi tangan dan mewajibkan pengunjung dan pekerja memakai pelitup muka serta mematuhi penjarakan fizikal.
“Jumlah pengunjung juga dilihat masih terkawal dengan majoritinya tertumpu ke premis perniagaan yang menjual bahan keperluan asas khususnya barangan keperluan dapur.
“Justeru itu, situasi ini dilihat amat positif di mana rakyat telah mula menerima dan mengamalkan norma baharu dalam menjalani kehidupan seharian,” katanya.