Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan terima penerimaan baik di Sabah

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan yang bakal dilaksanakan kelak mendapat reaksi yang amat baik dan memberangsangkan termasuk di kalangan rakyat negeri Sabah.

Ebon Octervia Dinin, 26, seorang pelajar berkata vaksin telah terbukti dalam sejarah berkesan membantu menyembuhkan beberapa penyakit.

“Jika kita kembali menyelusuri sejarah lepas, penciptaan vaksin sudah banyak membantu menyembuhkan penyakit seperti polio, malaria, SARS dan sebagainya.

“Kadang kala, antibodi kita tidak melawan virus lebih-lebih jika virus yang baharu jadi vaksin sangat bagus untuk badan salam membantu melawan virus atau bakteria.

“Selain itu, vaksin juga turut membantu meningkatkan sistem imunisasi badan kita,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Sabah Today hari ini.

Siti Nur Hidayah Abdul, 27, bekerja sebagai penjawat awam berkata usaha kerajaan dalam melaksanakan program vaksinasi harus dijayakan demi kebaikan komuniti.

“Kebaikan dan keberkesanan vaksin sudah diketahui umum menerusi pelbagai kajian jadi adalah penting untuk kita menjayakan program ini.

“Kita harus melindungi diri kita di samping turut melindungi orang lain yang tidak dapat mengambil vaksin atas sebab tertentu seperti menyusukan bayi, menjalani proses rawatan kanser dan sebagainya.

“Orang awam tidak sepatutnya terpengaruh dengan kenyataan dari golongan anti-vaksin di luar sana seperti yang ditularkan dalam laman media sosial,” katanya.

Semalam, media melaporkan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn. Bhd (MASKargo) pada jam 10 pagi, semalam.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID19 pada Rabu ini yang digerakkan lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Khairy Jamaluddin berkata pihaknya membuat keputusan memulakan fasa pertama program imunisasi itu lebih awal berbanding yang dijadualkan pada 26 Februari.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pihaknya berhasrat mengeluarkan pasport vaksin sebagai dokumen pengesahan bagi individu yang sudah menerima suntikan vaksin COVID19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *