PKPD di seluruh kampus UMS Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga Kolej Kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang diumumkan semalam diperluaskan ke seluruh kampus bermula hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, langkah itu diambil berdasarkan penilaian semasa risiko penularan Covid-19 di lokaliti berkenaan yang dilakukan pihak berkuasa.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju agar PKPD dikuatkuasakan di kampus UMS Kota Kinabalu selama dua minggu iaitu sehingga 18 April ini.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu sudah mengatur gerak dan menyelaraskan keperluan kawalan pergerakan keluar masuk di lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Berikutan pelaksanaan PKPD di seluruh kampus UMS Kota Kinabalu itu, pelajar dan kakitangan universiti dilarang keluar dari kediaman masing-masing kecuali ada keperluan penting dengan kebenaran polis.

Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD itu turut ditutup, manakala polis bertanggungjawab melaksanakan kawalan di kawasan jangkitan dengan kerjasama agensi lain.

Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di tiga Kolej Kediaman UMS iaitu Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.

PKPD itu dilaksanakan dalam usaha mengekang jangkitan Covid-19 selepas 19 kes positif dikesan melalui 133 ujian saringan yang dijalankan di ketiga-tiga kolej kediaman terbabit.

Sementara itu, Sabah hari ini merekodkan 65 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian di Tawau, manakala 61 pesakit dilaporkan sembuh.

Daerah Tawau turut merekodkan jumlah kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 31 kes, diikuti Lahad Datu dan Kota Kinabalu, masing-masing dengan sembilan kes.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *