PKPD di Kampung Rimbayan, Keningau dan Kampung Simpang 3A, Tawau, Sabah bermula esok
KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikuatkuasakan di dua kawasan di Sabah iaitu Kampung Rimbayan, Keningau dan Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau bermula esok hingga 15 April, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD itu berikutan pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa berlaku peningkatan kes secara mendadak di kedua-dua lokaliti dengan kadar kebolehjangkitan tinggi dalam komuniti.
Menurutnya di Kampung Rimbayan, sebanyak 301 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu 29 kes positif direkodkan hingga semalam.
“Di Kampung Simpang 3A, sehingga semalam juga, 12 ujian saringan dilaksanakan dan daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes positif direkodkan manakala empat lagi masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Rimbayan bagi memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti, selain menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain di lokaliti terbabit bagi Kampung Simpang 3A.
Sumber: BERNAMA