PKP penuh elak sistem kesihatan lumpuh

KUALA LUMPUR: Sistem perkhidmatan kesihatan negara boleh lumpuh menjelang 5 Jun ini sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dilakukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia unjuran situasi terburuk di Malaysia memandangkan kadar jangkitan harian semakin meruncing, mencecah 9,020 kes pada 29 Mei lalu.

Sehubungan itu, katanya, keputusan tuntas dengan mengumumkan perintah sekatan pergerakan menyeluruh perlu dibuat kerajaan bagi membendung risiko perkhidmatan kesihatan daripada lumpuh.

“Kita bentangkan pelan kontingensi dan pengurusan COVID-19 sejak awal Mei apabila kadar kebolehjangkitan atau Rt mula meningkat, sekitar 1.1 hingga 1.2.

“Oleh itu, kita cadangkan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 12 Mei lalu, bagi mengawal penularan jangkitan yang berpunca daripada 60 peratus kes sporadik dan 40 peratus kes berkaitan kluster.

“Pada 25 Mei, kita putuskan PKP dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan selepas melihat nilai Rt mengikut unjuran model kes sudah melepasi 1.2 dan semakin meningkat.

“Selain itu, kita berdepan kebimbangan peningkatan penularan jangkitan yang berpunca daripada pelbagai varian baharu, iaitu Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengikut penilaian Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Adham berkata, kapasiti hospital berdasarkan bilangan kes harian COVID-19 pada asasnya diukur berdasarkan empat tahap.

Tahap pertama ialah apabila jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari kurang 4,000 kes, sekali gus meletakkan kapasiti perkhidmatan hospital ketika itu di tahap optimum.

Kapasiti perkhidmatan hospital menjadi terhad dan bertukar kepada tahap kedua, apabila jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari meningkat kepada lingkungan 4,000 hingga 8,000 kes.

Lebih membimbangkan apabila kapasiti perkhidmatan hospital di ambang lumpuh, iaitu tahap ketiga ketika jumlah purata jangkitan dalam tempoh tujuh hari meningkat kepada lingkungan 8,001 hingga 13,000 kes.

Oleh kerana Malaysia pernah berada di tahap itu susulan peningkatan kes melangkaui 9,000 sebelum ini, Dr Adham berkata, kerajaan perlu melakukan keputusan penting dan tindakan pembendungan berkesan bagi mengelak situasi terburuk.

“Tahap keempat yang seboleh-bolehnya ingin dielak ialah apabila kapasiti perkhidmatan hospital menjadi lumpuh, dengan purata kes dalam tempoh tujuh hari melepasi paras 13,000 kes,” katanya.

Dr Adham berkata, KKM turut menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti, berbanding kapasiti untuk tindakan oleh perkhidmatan kesihatan di peringkat negeri.

Penilaian menggunakan asas atau matriks tertentu itu dibahagikan kepada empat tahap bagi menilai sama ada kapasiti tindakan kesihatan berbanding risiko penularan jangkitan meruncing atau sebaliknya.

Beliau menjelaskan, penilaian pada 15 Mei lalu menyaksikan hanya Perlis dikategorikan sebagai tahap satu kerana risiko penularan komuniti berada di peringkat pertengahan, antara 60 hingga 80 peratus, manakala kapasiti tindakan kesihatan ialah mencukupi atau 80 hingga 100 peratus kekosongan.

“Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pula tahap kedua, berikutan peningkatan risiko penularan komuniti, tetapi kapasiti tindakan kesihatan masih mencukupi.

“Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Johor dan Kelantan di tahap ketiga, susulan kapasiti tindakan kesihatan yang sederhana, iaitu 60 hingga 80 peratus, manakala penularan komuniti berada di peringkat risiko tinggi.

“Dua negeri iaitu Selangor dan Sarawak dikategorikan tahap keempat, berikutan kapasiti tindakan kesihatan yang terhad, kurang daripada 60 peratus, manakala penularan komuniti berada di peringkat risiko tinggi.

“Situasi ini didapati merekodkan perubahan mendadak apabila penilaian pada 30 Mei lalu menyaksikan Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berada di tahap empat,” katanya.

Menyatakan kebimbangannya, Dr Adham berkata Perlis, Kedah, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu dan Sabah berada di tahap ketiga.

Sehubungan itu, beliau mengakui jururawat, doktor pakar dan pegawai perubatan yang mempunyai kemahiran khusus serta ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) terpaksa menanggung bebanan kerja hampir tiga kali ganda.

“Jumlah katil yang diperuntukkan untuk kes COVID-19 adalah 9,753 atau 27 peratus daripada jumlah keseluruhan katil hospital iaitu 35,621.

“Pengisian semua katil ini menyebabkan sumber manusia terlalu terbeban.

“Standard penyampaian perkhidmatan diubah suai seperti seorang jururawat terpaksa mengendalikan dua hingga tiga pesakit di ICU, selain bekerja dua syif, pakar atau pegawai perubatan pula ‘on call’ (bersedia bertugas) dua hari sekali,” katanya. -BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *