PERANAN PETUGAS SUKARELAWAN BANTU LANCARKAN PROSES PEMBERIAN VAKSIN DI TAWAU

TAWAU: Peranan Petugas Sukarelawan yang ditempatkan di setiap Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini sejak beberapa bulan lalu dilihat mampu melancarkan proses pemberian vaksin kepada penerima.

Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, semua sukarelawan yang terdiri dari kalangan belia ditugaskan membantu petugas Pejabat Kesihatan supaya pemberian vaksin yang dijalankan setiap hari berjalan lancar dan teratur.

Beliau berkata, mereka akan ditugaskan di beberapa bahagian daripada pukul 8 pagi hingga 5 petang di semua stesen PPV kecuali di bahagian pemeriksaan kesihatan dan pemberian suntikan.

Beliau berkata demikian kepada RTM selepas melakukan lawatan di PPV Dewan Masyarakat Tawau.

Beliau yang juga Wakil Rakyat DUN Tanjung Batu berkata, pada masa ini pihaknya telah banyak menerima permintaan daripada kalangan belia untuk menjadi sukarelawan dalam membantu kerajaan melaksanakan pelbagai program terutamanya dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini sejak lebih setahun yang lalu.

Pada masa sama, beliau turut memuji kesungguhan peranan yang dimainkan oleh para sukarelawan yang bertugas di pusat-pusat PPV walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah masyarakat yang datang ke pusat itu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Pada masa ini seramai 17 sukarelawan belia di daerah ini ditempatkan di PPV bagi membantu petugas kesihatan mengendalikan pemberian suntikan vaksin.

Sementara itu, rata-rata sukarelawan yang ditemui menzahirkan rasa bangga kerana mereka dapat berbakti kepada pelbagai lapisan masyarakat dalam memastikan kelancaran pemberian vaksin di pusat berkenaan

Sumber Berita: INFO BES TAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *