“OP COVID-19 Bersepadu” pos persisir pantai dan pemantauan perairan

LABUAN : Pelancaran “OP COVID-19 Bersepadu” pos persisir pantai dan pemantauan perairan Wilayah Persekutuan Labuan pagi tadi yang melibatkan kerjasama 13 agensi dan Jabatan kerajaan yang diketuai oleh PDRM Labuan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan.

Antara objektif operasi adalah mencegah kemasukan individu dari luar memasuki Wilayah Persekutuan Labuan secara tidak sah, memastikan SOP PPN Fasa 1 dipatuhi dan memastikan perairan Wilayah Persekutuan Labuan selamat dan terkawal daripada dibolosi.

Agensi yang mempunyai aset di laut yang diketuai oleh Pasukan Polis Marin bersama-sama dengan pasukan sahabat iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Laut bertanggungjawab melakukan rondaan 24jam di sektor yang telah ditetapkan di sekitar perairan WP Labuan.

Kawalan keselamatan, pemeriksaan serta pemantauan pergerakan bot dan kapal di kawasan perairan Labuan akan dilaksanakan bagi memastikan SOP PKP dipatuhi.

Turut diadakan penyampaian Jalur Gemilang daripada Jabatan Penerangan W.P Labuan kepada agensi-agensi yang terlibat dengan operasi itu sebagai simbolik Kempen Kibar Jalur Gemilang bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *