MATTA memberi cadangan aktifkan semula industri pelancongan pasca COVID-19

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkesempatan bertemu dengan Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang diketuai oleh Presidennya, Datuk K.L. Tan di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).

Dalam pertemuan tersebut, MATTA memberi cadangan untuk mengaktifkan semula industri pelancongan pasca COVID-19. YAB Ketua Menteri memberi jaminan dan komitmen untuk memastikan industri pelancongan di Sabah dapat dijalankan semula, melalui Pelan Pemulihan Pelancongan yang komprehensif.

Untuk tujuan itu, kerajaan Negeri mengesa kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan penghantaran bekalan 600,000 dos vaksin pada bulan ini dan 1.2 juta dos pada bulan depan ke Sabah. Ini bagi memastikan sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk di negeri Sabah telah menerima vaksin menjelang bulan Oktober. Dengan ini, lebih banyak sektor perniagaan dan perkhidmatan dapat dibuka semula termasuk sektor pelancongan.

Beliau berkata, dibawah Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0, kerajaan memperuntukkan RM2.88 juta menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk diagihkan kepada Pemandu Pelancong, Penyelam, Malim Gunung, Porter, Pengusaha Hotel dan Pengendali Inap Desa yang terjejas akibat pandemik. Ketua Menteri juga dijadualkan akan bertemu dengan Malim Gunung untuk pemberian bantuan dan menyaksikan pengendalian Program Vaksinasi Pelancongan di Kundasang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *