MATTA hargai usaha kerajaan negeri Sabah bantu PKS pelancongan terjejas

KOTA KINABALU: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menghargai usaha kerajaan negeri Sabah dalam membantu syarikat dan agensi pelancongan yang terjejas sejak pandemik COVID-19 melanda negeri ini.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata pihaknya berterima kasih dengan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin yang membantu syarikat pelancongan yang mengalami masalah kewangan terutamanya pada musim perayaan ini.

“Kami menghargai pemberian geran khas RM4,000 kepada syarikat pelancongan di Sabah sebagai tanda sokongan ketika waktu yang sukar ini.

“MATTA mempunyai lebih daripada 500 orang ahli yang mempunyai agensi pelancongan berlesen di Sabah.

“Insentif tunai ‘one-off’ ini adalah satu penghargaan bahawa pengusaha pelancongan memainkan peranan penting dalam promosi domestik dan antarabangsa bersama dengan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam kenyataan media terbabit, Tan turut berkata pihaknya turut menghargai pemberian geran RM30,000 untuk MATTA Sabah termasuk RM10,000 bagi kegunaan program latihan.

“Insentif tunai merupakan penggalak semangat bagi pengusaha pelancongan untuk terus bertahan dalam situasi genting ini dan juga aktifkan semula syarikat mereka.

“Negeri lain harus mencontohi kerajaan negeri Sabah dengan menyedari syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pelancongan merupakan sebahagian dari ekosistem pelancongan.

“PKS ini telah melakukan banyak promosi untuk negeri selama 30 tahun dan juga menyediakan peluang pekerjaan termasuk pemandu pelancong dan pemandu.

“Menyedihkan, kerajaan persekuruan dan kerajaan negeri lain terlepas pandang keadaan PKS pelancongan ini,” katanya.

Sementara itu, Tan turut berkata kerajaan negeri meneliti semula syarat untuk melakukan ujian saringan PCR atau antigen tiga hari sebelum ketibaan dan berlepas dari Sabah bagi menghidupkan semula pasaran (pelancongan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *