Larangan rentas daerah bermula pada Isnin depan

KOTA KINABALU: Larangan rentas daerah di Sabah diawalkan bermula pada 24 Mei 2021 atau Isnin depan berikutan Sabah merekodkan jumlah kes baharu COVID-19 sebanyak tiga angka sejak tiga hari lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sejak tiga hari lalu, Sabah mencatatkan 160 kes (19 Mei 2021), 245 kes (20 Mei 2021) dan 144 kes (21 Mei 2021).

“Susulan perkembangan tersebut, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sekatan rentas daerah (Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dikategorikan sebagai satu daerah) yang berkuatkuasa mulai pada 24 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021, tertakluk kepada kajian semula.

“Perlaksanaan Sekatan Rentas Daerah ini bertujuan untuk mengawal pergerakan dan jangkitan antara daerah-daerah dalam kategori merah dan jingga ke daerah-daerah kategori hijau dan kuning,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau berkuat kuasa 23 Mei sehingga 5 Jun 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 21 Mei 2021 adalah sebanyak 144 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 60,053 kes.

“Seramai 62 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah kumulatif 58,606 orang. Seramai 725 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 318 orang di hospital dan 407 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi ialah 36 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *