Laporan Polis terhadap Dr Noor Hisham? Ini Jawapan Dr Mahyuddin

Semalam heboh isu laporan polis terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dato Dr Noor Hisham kerana tidak mahu berikan rawatan Ivermectin kepada rakyat Malaysia. Katanya lepas buat laporan polis barulah KKM nak buat kajian.

Katanya negara luar, contohnya India dah lama beri Ivermectin kepada rakyatnya dan berkesan.

Izinkan saya kongsikan maklumat ini dengan anda.

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia memang sedang buat kajian mengenai keberkesanan Ivermectin ke atas pesakit Covid di Malaysia. Anda kena sabar. Kajian ni diluluskan oleh Jawatankuasa Etika KKM pada 25/5/2021, lebih awal pun daripada laporan polis yang dibuat anda!
  2. Anda kata DG akan bertanggungjawab ke atas kematian rakyat Malaysia kerana ivermectin tidak diberi. Nanti jika berlaku komplikasi atau kematian akibat pemberian Ivermectin secara terburu2 tanpa kajian, anda pasti salahkan Tan Sri DG juga kan?
  3. Anda tau berita terkini dari India? Guideline terkini pada 27/5/2021 oleh DGHS Kementerian Kesihatan India telah mengarahkan rawatan Covid menggunakan Ivermectin, multivitamin dan zinc DIHENTIKAN! Ini anda nak sebarkan ke tidak? Anda boleh terima berita dari India ni?

Guideline ini juga menyuruh rakyat India yang tiada simptom untuk terus pakai pelitup muka, jaga kebersihan tangan dan jaga jarak fizikal. Sama seperti yang Kementerian Kesihatan Malaysia tekankan selama ni!

  1. Maklumat yang kita ada sekarang masih belum cukup untuk gunakan Ivermectin sebagai rawatan SEMUA pesakit Covid. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) & FDA Amerika Syarikat mencadangkan Ivermectin hanya digunakan dalam kajian pesakit dahulu buat masa sekarang sehinggalah kita dapat bukti keberkesanannya. Kesatuan Eropah juga melarang Ivermectin digunakan ke atas semua pesakit kerana kekurangan bukti saintifik keberkesannya.
  2. Kita mahu rawatan yang berkesan dan selamat buat rakyat Malaysia. Bukannya main beri ubat secara terburu-buru. Sebab itu setiap vaksin yang masuk ke negara kita juga tetap perlu melalui proses di NPRA KKM walaupun ia telah digunakan di luar negara sebelumnya.
  3. Anda fikir kami di KKM suka ke pesakit Covid bertambah saban hari? Anda fikir kami mahu lihat rakyat Malaysia meninggal setiap hari? Anda fikir tiada doktor, jururawat dan ahli keluarga kami yang meninggal akibat Covid? Kami juga sama seperti anda. Bezanya anda perlu duduk di rumah dan menjaga SOP manakala kami perlu memakai PPE 8 jam sehari dan menghadapi risiko dijangkiti Covid saban hari. Mungkin bagus juga jika bagi segelintir rakyat Malaysia yang terlebih cerdik ni merasa pakai PPE dan berdiri merawat pesakit Covid selama 8 jam.
  4. Tuan Puan, anda tidak perlulah jadi doktor atau jururawat untuk bantu kita mengalahkan COVID. Tak perlulah sebarkan pelbagai Whatsapp atau video yang tiada bukti keberkesanannya. Anda rasa anda nak bantu lawan covid tapi sebenarnya anda melambatkan rawatan diberi kepada mangsa covid itu kerana mencuba pelbagai petua anda tu. Apatah lagi dengan bertindak terlebih sudu dari kuah. Siap buat laporan polis ke atas kami pula. Bagai melepaskan anjing tersepit.
  5. Tolonglah bantu kami dengan sama2 promosi program vaksinasi di kalangan ahli keluarga anda, patuh SOP setiap hari dan di semua lokasi yang anda pergi. Itu pun dah cukup bagi kami.

Dr Mahyuddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *