Kompleks Karamunsing ditutup dua hari untuk kerja sanitasi

KOTA KINABALU: Penutupan sementara Kompleks Karamunsing selama dua hari pada 20 dan 21 Mei 2021 adalah bagi menyiapkan kerja sanitasi dan pembersihan sebagaimana yang diarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Wakil pihak pengurusan Kompleks Karamunsing ketika dihubungi Utusan Borneo menjelaskan, penutupan operasi itu bermula jam 3 petang ini dan akan dibuka semula pada 22 Mei 2021.

Pihak pengurusan turut mengarahkan semua penyewa supaya menghantar senarai pekerja bersama keputusan negatif ujian calitan (swab test) pada 21 Mei.

Sebelum ini, KKM mengeluarkan Notis Perintah Tutup Premis melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu kepada Kompleks Karamunsing bermula jam 11 pagi 20 Mei hingga 2 Jun 2021 untuk kerja sanitasi.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Kompleks Karamunsing membuat permohonan dengan mengadakan perbincangan bersama pihak KKM agar tempoh penutupan dipendekkan.

Sehubungan itu, pihak pengurusan mendapat kebenaran agar tempoh penutupan dipendekkan dengan syarat senarai keputusan negatif ujian calitan semua penyewa dan pekerja di Kompleks Karamunsing dihantar kepada pihak KKM.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai arahan penutupan Kompleks Karamunsing boleh menghubungi nombor hotline 088-239784 – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published.