Kluster Lorong Api-Api babit pelajar Almacrest
KOTA KINABALU: Seramai 34 penuntut Kolej Antarabangsa Almacrest dijangkiti COVID-19 sehingga mencetuskan satu lagi kluster baharu, Kluster Lorong Api-Api.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks lelaki tempatan berusia 18 tahun yang juga penuntut kolej itu tinggal di asrama kediaman Api-Api Center.
“Kes indeks yang bergejala sejak 18 Januari itu didapati positif saringan PCR COVID-19 pada 21 Januari lalu dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC) untuk tujuan isolasi dan rawatan lanjut.
“Saringan terhadap 40 kontak rapat mendapati 25 lagi kes positif dan jumlah kumulatif adalah sebanyak 34 kes, manakala enam lagi negatif.
“Semua penuntut yang positif dikategorikan sebagai bergejala ringan (kategori satu dan dua) dan sudah dihantar ke pusat kuarantin dan diberikan rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Masidi berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini adalah 367 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 248,119 kes.
“Dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu di daerah Kota Kinabalu dan Beaufort,” katanya. -BH Kluster Lorong Api-Api babit pelajar Almacrest (bharian.com.my)