Kluster Covid-19 baru di Sabah babitkan pekerja hotel

KOTA KINABALU : Satu kluster baru iaitu Kluster Jalan Kem Bina Ranau direkodkan di Sabah hari ini, berpunca daripada seorang pekerja hotel di Kundasang, Ranau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kes indeks kluster itu membabitkan lelaki tempatan berusia 59 tahun iaitu kakitangan hotel yang dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Ranau pada 23 Disember lepas.

“Saringan terhadap 70 kontak rapat, rakan sekerja serta keluarga mendapati 39 lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40 kes, termasuk enam kes baharu yang dilaporkan hari ini (3 Januari),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata jumlah kes harian di negeri itu kekal stabil dan tidak banyak berubah daripada yang direkodkan semalam.

“Terdapat sedikit penurunan sebanyak empat kes berbanding semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes baharu di Sabah hari ini adalah 161 kes,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.