KK, Putatan dan Penampang tidak lagi dikategorikan satu daerah

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang tidak lagi dikategorikan sebagai satu daerah setelah mengambilkira bilangan kes positif COVID-19 ketiga-tiga daerah tersebut yang telah mencapai 70 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, mulai esok (7 Jun 2021) PDRM akan melaksanakan pemeriksaan ketat kawalan larangan rentas daerah yang melibatkan tiga daerah ini.

“Ia dilakukan sebagai usaha mengurangkan perjalanan yang tidak perlu maka orang awam tidak dibenarkan rentas daerah kecuali untuk perkhidmatan perlu dan barangan perlu sahaja.

“Sementara itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19) juga menetapkan kehadiran kakitangan di organisasi masing-masing hendaklah 
sekurang- kurangnya 30 peratus di pejabat masing-masing dan 70 peratus bekerja dari rumah. Arahan ini adalah berkuatkuasa serta merta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 46 kes iaitu daripada 259 kes kelmarin (5 Jun 2021) kepada 305 kes (6 Jun 2021).

Katanya, daripada 305 kes jangkitan baharu hari ini, 178 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 64 kes adalah daripada saringan kluster, 34 kes adalah daripada saringan bergejala, empat (4) kes daripada saringan bersasar dan 25 kes adalah daripada lain-lain kes.

Katanya lagi, terdapat enam kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu, Kluster Kg Gusi Kinarut Papar mencatatkan 25 kes, kluster Jalan Utama Sandakan 15 kes, Kluster Rimau Sawit Kinabatangan 29 kes, Kluster Murni C Penampang-Nabawan 22 kes, Kluster Tamalag Kota Belud 27 kes dan Kluster Ketiau Tombovo Putatan 9 kes.

Sementara itu, Kluster Jalan Utama Sandakan merupakan kluster tempat kerja yang mencatat jumlah terkini sebanyak 15 kes, Kes indeks adalah pekerja wanita, 51, di MPI Generali Insurans Berhad (Cawangan Sandakan) yang disahkan positif RTK Anitigen di klinik swasta pada 28 Mei 2021, setelah mengalami gejala demam pada hari sebelumnya. 

Susulan kes itu, hasil saringan terhadap 78 individu mengesan 14 lagi kes positif COVID-19 yang terdiri daripada tujuh kes kontak di tempat kerja, lima kes kontak serumah dan dua kes kontak sosial. 

Siasatan awal mendapati penularan jangkitan berlaku di dalam ruangan tempat kerja syarikat insurans berkenaan.

Kluster Sawit, Kinabatangan melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan komuniti dan tempat kerja iaitu di Ladang Sawit Syarimo, Kinabatangan. 

Kes Indeks merupakan kerani wanita, 25, yang dikesan positiF RTK-Ag melalui saringan masuk kerja di Klinik Swasta Mabello Paris 3 pada 31 Mei 2021. Saringan kontak kemudiannya mendapati 28 lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 29 kes.

Jumlah tersebut merangkumi 14 kes kontak di tempat kerja manakala baki 15 kes adalah jangkitan terhadap kontak tanggungan.

Semua kes positif kini menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko
Rendah Kinabatangan selepas dinilai di Hospital Kinabatangan. 

Setakat hari ini, aktiviti disinfeksi diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang yang lain.

Kluster Murni C: Nabawan, Penampang merupakan kluster yang tercetus berikutan majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kg Murni C, Nabawan pada 20 hingga 21 Mei 2021.

Kluster ini didaftarkan di Penampang apabila kluster indeks, lelaki warganegara, 33, mengalami gejala demam dan sesak nafas sejak 20 Mei 2021, disahkan positif di Klinik Kesihatan Penampang pada 22 Mei 2021.

Pengesanan secara aktif berjaya menyaring 121 individu terdiri daripada keluarga, kontak rapat dan kontak kasual. Daripada jumlah tersebut, 21 kes didapati positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes, sementara 86 individu masih menunggu keputusan saringan pertama serta seorang kontak pula negatif.

Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.

Kluster Tamalang, Kota Belud melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti yang merekodkan jumlah kumulatif positif COVID-19 sebanyak 27 kes.

Pada 27 Mei 2021, kes indeks, lelaki, 25, dikesan positif selepas menjalani saringan bergejala di Hospital Kota Belud. Saringan kontak rapat kemudian mendapati 17 lagi kes positif RTK-Ag dan RT-PCR pada 27 Mei 2021 hingga 3 Jun 2021.

Turut disahkan positif, sembilan kontak sosial kepada Jurulatih Akademi Memandu Kota Belud di Kg Tamalang Kota Belud, memandangkan kes indeks menjalani latihan dan ujian memandu di akademi terbabit mulai 23 hingga 27 Mei 2021.

Berdasarkan maklumat awal, penularan jangkitan dipercayai ekoran aktiviti sosial komuniti di lokaliti terbabit seperti kelas mengaji Al-Quran, latihan dan ujian memandu serta aktiviti ziarah keluarga dan jiran. Bagaimanapun, siasatan punca sebenar jangkitan dan saringan masih giat dijalankan.

Kluster Kg Gusi, Papar pada hari ini merekodkan enam kes baharu positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes. 

Kes indeks bagi kluster jenis komuniti dan keagamaan ini merupakan lelaki, 60, bersama isterinya yang mula bergejala sejak 28 Mei 2021 sebelum disahkan positif di Hospital Papar. Turut dikesan positif, 16 rakan serumah melalui saringan kontak rapat.

Pada 4 Jun 2021, Pejabat Kesihatan Daerah Papar menjalankan saringan bersasar di Surau Al-Kautsar iaitu tempat kes indeks menunaikan solat maghrib dan Isyak.

Daripada 31 jemaah yang disaring, lima daripada mereka didapati positif. Dalam perkembangan berkaitan, dua lagi kes positif dikesan masing-masing menerusi saringan bergejala di Hospital Papar dan saringan pra-rawatan di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada 2 Jun 2021.

Kedua-dua individu berkenaan adalah penduduk Kg Gusi dan mempunyai sejarah menunaikan solat di Surau Al-Kautsar sejak dua minggu lalu. Kini, aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan.

Kluster Ketiau Tembovo, Putatan merupakan kluster jenis komuniti dan keagamaan yang merekodkan jumlah terkini sebanyak sembilan  kes positif COVID-19 bagi daerah Putatan. 

Kes indeks, lelaki, 63, dilaporkan mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak dan hilang deria rasa sejak 27 Mei 2021, sebelum disahkan positif RTK-Ag di Klinik Kesihatan Putatan pada 29 Mei 2021.

Susulan kes itu, saringan kontak pada 30 Jun 2021 mendapati lapan  lagi kes positif termasuk dua kes kontak serumah dan enam kes kontak rapat kepada rakan serumah kes indeks yang bekerja di kilang ayam, QL Agroventure Sdn. Bhd.

Setakat ini, aktiviti saringan dan kawalan masih dijalankan secara aktif – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *