Kes lebih 5,000 tiga hari berturut-turut

PUTRAJAYA: Kes baharu COVID-19 di negara ini bagi tempoh 24 jam merekodkan 5,812 kes, kekal melebihi angka 5,000 untuk tiga hari berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 722,659 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi dengan 2,187 kes.

Katanya, ia diikuti Kuala Lumpur sebanyak 771 kes, Sarawak (673), Negeri Sembilan (658), Melaka (223), Johor (196), Kedah (186) dan Sabah (156).

“Hanya Perlis tidak mencatatkan sebarang pertambahan kes hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini 60,117 kes.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak 870 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 433 kes masih memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Mengenai kes kematian, Dr Noor Hisham berkata hari ini terdapat 82 kes kematian termasuk membabitkan 71 warganegara berusia antara 24 hingga 89 tahun.

Sebanyak 31 kes kematian dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur (18); Johor (lapan); Negeri Sembilan (lima); Sarawak (empat), masing-masing tiga kes di Labuan, Pahang dan Kedah serta masing-masing dua kes di Pulau Pinang serta Kelantan manakala satu kes pula masing-masing di Sabah, Perak dan Melaka.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata hari ini terdapat 21 kluster baharu yang dikesan iaitu 18 daripadanya berpunca di tempat kerja, dua dalam kalangan komuniti serta satu di pusat tahanan.

Kluster tempat kerja yang dikesan hari ini dikenali sebagai Tapak Bina Lebuh 2; Kluster Tapak Bina Jalan City; Kluster Industri Jalan Seruling 59; Kluster Industri SS Lapan Dua dan Kluster Industri Jalan Norton.

Turut dikesan ialah Kluster Jalan Cyberia Dua, Kluster Industri Kilometer 17 Rawang; Kluster Jalan Ampang Water Front Dua; Kluster Tapak Bina Jalan Utara dan Kluster Tapak Bina Matahari 2.

“Selain itu ialah Kluster Jalan Taman Ibu Kota; Kluster Jalan Raja Musa; Kluster Jalan Nirwana Dua, Kluster Wakaf Aik dan Kluster Jalan Kampung Jawa.

“Tiga lagi kluster tempat kerja ialah Kluster Kailan Tringkap; Kluster Dah Industri Sungai Petani serta Kluster Jalang Kidurong Lima,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi kluster komuniti ia dikenali sebagai Kluster Pengkalan Gelugor dan Kluster Jalan Laksamana Intan manakala kluster pusat tahanan ialah Kluster Kilometer 23 Puncak Borneo.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 6,775 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif di negara ini sebanyak 657,739 kes.

Sumber Berita: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *