Kerajaan negeri Sabah sokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong isytihar darurat elak PRK Bugaya

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menyokong penuh keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bagi mengelak Pilihan Raya Kecil (PRK) sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata keputusan itu merupakan keputusan bijak setelah mempertimbangkan pandemik COVID-19 yang membahayakan kesihatan rakyat Sabah.

“Kita mahu menghentikan penularan COVID-19 ini, melandaikan lekuk wabak kni dan paling penting adalah menyelamatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah bagi mengelak PRK dalam usaha membendung wabak COVID-19.

Pengisytiharan itu berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memahsyurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 Sn Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh telah memaklumkan pihaknya akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah selain Parlimen Gerik, Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *