Kerajaan negeri Sabah beri tumpuan sediakan data asas kepada KKM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memberikan tumpuan untuk menyediakan data kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila vaksin COVID-19 sudah disediakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata pihaknya menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah membuat perbincangan awal untuk mendapatkan data asas penduduk dan golongan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19.

“JKNS telah mengadakan perbincangan awal dengan pihak KKM untuk mendapatkan data asas penduduk dan kakitangan-kakitangan berisiko tinggi seperti petugas barisan hadapan, anggota keselamatan dan pertahanan.

“Data juga didapatkan untuk penduduk-penduduk berisiko tinggi seperti warga emas dan pesakit-pesakit yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, penyakit pernafasan kronik dan sebagainya.

“Vaksin COVID-19 yang kini berada dalam fasa kajian perlu mendapat kelulusan kerajaan terlebih dahulu sebelum perancangan pengagihan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu sidang media mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sabah secara maya, hari ini.

Dalam sidang media secara maya terbabit, Masidi turut ditanya pemberita jika warga asing di Sabah akan diberikan vaksin percuma berikutan jumlah warga asing yang dijangkiti adalah ramai.

Masidi menjelaskan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 November lepas, vaksin COVID-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia m
manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh KKM.

“Walau bagaimanapun buat masa ini, pihak KKM belum mengeluarkan apa apa kenyataan mengenai caj bayaran yang dikenakan ke atas warga asing.

“Selain itu, berdasarkan kenyataan media Perdana Menteri pada tarikh yang sama, kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 dan hanya diberikan kepada mereka yang mengambilnya secara sukarela terutama golongan berisiko dan mudah dijangkiti penyakit.

“Bagi negeri Sabah, kita perlu menunggu ketetapan dari pihak KKM sama ada mewajibkan atau tidak pengambilan vaksin COVID-19,” katanya.

Sabah hari ini mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 sebanyak 268 kes dengan lima kematian direkodkan iaitu tiga kes di Tawau dan dua kes di Lahad Datu.

Selain itu, daerah Kunak hari ini bertukar dari zon kuning ke zon hijau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *