Kemasukan pelancong dari Brunei ke Sabah dijangka bakal pulihkan sektor pelancongan

KOTA KINABALU: Pembukaan sempadan bagi membenarkan kemasukan pelancong dari negara Brunei Darussalam akan mempercepatkan fasa pemulihan industri pelancongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 di Sabah.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan negeri yang membenarkan kemasukan pelancong dari Brunei Darussalam sama ada melalui jalan darat mahupun udara.

“Keputusan itu diambil selepas negara jiran itu tidak mencatat sebarang kes positif COVID-19 sejak 7 bulan lalu sekaligus dikategorikan sebagai negara hijau.

“Walau bagaimanapun, pengunjung perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum perjalanan, iaitu syarat sama untuk pengunjung domestik yang mahu memasuki Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Jafry turut berkata pihak yakin dengan pembukaan sempadan juga, pengusaha pelancongan akan membuat persiapan sebelum mula beroperasi kembali.

“Saya yakin pengusaha industri pelancongan juga telah bersiap sedia untuk pembukaan semula operasi kepada pelancong dalam mahupun luar negara dengan menyediakan pelbagai protokol dan prosedur kesihatan serta keselamatan yang telah ditetapkan.

“Mengikut statistik pelancongan Sabah, jumlah pelancong daripada Brunei telah meningkat daripada 56,259 pelancong pada tahun 2018 kepada 78,605 pelancong tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry menyeru agar rakyat tempatan dapat memanfaatkan cuti hujung minggu dengan menerokai tempat menarik di dalam negara bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan domestik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *