Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka di Tawau

TAWAU, 8 Jun : Dua lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan dibuka melibatkan kawasan Balung serta Merotai dekat sini dalam tempoh terdekat bagi membolehkan rakyat di kawasan pedalaman mendapatkan vaksin COVID-19, kata Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Tawau Arnold Joibi.

Beliau berkata keputusan membuka PPV baharu itu dibuat setelah mengambil kira faktor geografi kawasan Tawau serta Kalabakan yang luas dan dalam usaha memudahkan penduduk untuk ke PPV bagi mendapatkan vaksin.

“Ketika ini masih dalam proses diwartakan, kami jangkakan apabila kita buka tempat baru ini (PPV) iaitu di Institut Pendidikan Guru, Balung dan Dewan Datuk Najib, Merotai akan memudahkan penduduk dapatkan vaksin dan lebih ramai terbuka mendaftar untuk divaksin,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini suntikan vaksin dilakukan di PPV Dewan Masyarakat Tawau, Hospital Tawau serta Klinik Kesihatan Tawau, semuanya terletak di kawasan bandar dan keadaan itu memberi kesan kepada penduduk di luar bandar seperti penduduk Kampung Kalabakan yang perlu menempuh perjalanan hampir tiga jam untuk ke bandar Tawau.

Menurut laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, seramai 162,814 penduduk sudah divaksin di Sabah atau 5.55 peratus daripada jumlah penduduk, peratus terendah berbanding negeri lain. Sabah pada masa ini mempunyai 29 PPV.

Arnold berkata pendaftaran vaksin penduduk di sini masih rendah dan sehingga kini hanya 50,000 pendaftaran daripada 441,000 penduduk direkodkan. Sejumlah 11,000 penduduk Tawau telah menerima suntikan vaksin.

“Kami harap ketua kampung termasuk Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat mendaftarkan penduduk di kawasan terpencil kerana ini antara cara dapat membantu mewujudkan imuniti kelompok, ” katanya.

Sebelum itu, tinjauan Bernama mendapati ketiadaan PPV berhampiran antara faktor penduduk luar bandar mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

Seorang penduduk Merotai, Paridah Aco, 57, berkata faktor PPV yang jauh dari kawasan rumah menyebabkannya berasa berbelah bahagi untuk mendaftar vaksin kerana memikirkan banyak kekangan seperti tiada kenderaan dan kos yang perlu dikeluarkan untuk ke bandar Tawau.

“Bukan saya tidak mahu vaksin tapi sebab tempat vaksin jauh, jika ada tempat beri vaksin lebih dekat, saya boleh, bagus kalau ada yang berhampiran harap kerajaan boleh memikirkan kemudahan untuk penduduk luar bandar,” katanya.

Bagi penduduk Kalabakan Ramlan Bidung, 49, yang juga belum mendaftar untuk suntikan vaksin pula memberitahu kurang pengetahuan mengenai kepentingan vaksin selain wujud kekangan pengangkutan untuk ke Tawau.

“Saya tahu ada pemberian vaksin itu saja, tapi tiada maklumat banyak mengenai kepentingan vaksin, cakap-cakap mengenai vaksin antara penduduk pun tiada, lagi pun jauh vaksin ke Tawau, tunggu dan lihat dulu (daftar) macam mana,” katanya.

Ramlan berkata taklimat vaksin kepada penduduk pedalaman perlu diadakan sebagai pendedahan selain PPV juga wajar dibuka dalam kawasan Kalabakan bagi melancarkan proses vaksinasi. – Berita dipetik daripada BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *