Dua lagi kluster baharu dilaporkan di Sabah

KOTA KINABALU : Sebanyak 36 kluster aktif di Sabah setakat ini yang melibatkan institusi pendidikan; enam kluster tempat kerja, dan dua kluster komuniti.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Masidi Manjun, menjelaskan bahawa dua kluster baharu direkodkan semalam (11 Februari) iaitu kluster Pendidikan dan kluster komuniti.
Beliau berkata kluster pendidikan melibatkan Kluster Pangkalan Abai di Kota Belud membabitkan pelajar perempuan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Said dan keluarga guru.
Bagi kluster komuniti, ia adalah daripada Kluster Loboh Nabawan yang berpunca daripada majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kampung Loboh Nabawan, dimana pesakit merupakan seorang wanita berusia 59 tahun.
Dijelaskan bahawa wanita terbabit telah mengalami gejala seperti batuk, selsema, sakit kepala dan sakit tekak pada 6 Februari dan akhirnya disahkan positif Covid-19 pada 8 Februari setelah menjalani saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Nabawan.
Masidi berkata ujian kontak rapat turut mendapati 16 orang lagi positif dan mereka telah diasingkan untuk rawatan lanjut.
Sebanyak empat kematian direkodkan pada 11 Februari iaitu tiga di Papar dan satu di Tuaran dan 3,361 kes jangkitan Covid-19 direkodkan.