COVID: 25 kes positif libatkan kluster Kayul di Kuala Penyu

KOTA KINABALU: Empat lagi kes baharu COVID-19 dikesan melibatkan Kluster Kayul di Kuala Penyu hari ini menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster itu ialah 25, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan Sabah berkaitan COVID-19 berkata kluster itu melibatkan kes indeks berumur 62 tahun yang dikesan positif selepas menjalani ujian RTK Antigen pada 11 Jan lepas.

“Kes indeks yang merupakan seorang lelaki tempatan membuat saringan itu selepas bergejala demam dan batuk sejak 5 Jan. Hasil penelitian mendapati beliau telah mengadakan majlis keagamaan di kediamannya di Kampung Kayul dan dihadiri ahli keluarga dari kampung tersebut, Kampung Kebunau dan Kampung Gerowot.

“Susulan saringan kontak rapat, terdapat pertambahan kes terdiri daripada kontak serumah dan kontak sosial melibatkan majlis keagamaan itu. Jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 25 kes termasuk empat kes baharu dilaporkan hari ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata sebanyak 265 kes baharu direkodkan hari ini sekali gus menyaksikan jumlah kumulatif wabak itu di Sabah meningkat kepada 244,004 kes.

Beliau berkata seramai 144 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh 236,335 orang; manakala 738 pesakit masih menerima rawatan.

Sebanyak tiga kes kematian dilaporkan hari ini masing-masing satu di Ranau, Tawau dan Kota Belud, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.