Covid-19: Sabah sedang lalui fasa penstabilan

KOTA KINABALU – Sabah pada masa ini sedang melalui fasa penstabilan Covid-19 apabila tiada kluster baharu dicatatkan sejak beberapa minggu lalu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, pada masa ini hanya tiga kluster Covid-19 masih aktif di negeri itu dan satu kluster iaitu Kluster Jalan Kebulian di Kota Marudu diisytiharkan tamat pada Jumaat.

“Keputusan menamatkan kluster itu dibuat apabila tiada rantaian kes baharu yang mempunyai kaitan dengan kluster berkenaan… tiada kluster baharu direkodkan hari ini,” katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, jumlah kes positif Covid-19 dicatatkan pada Jumaat ialah 270 kes berbanding hanya 214 kes pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 367,679 kes.

“Seramai 258 orang atau 95.56 peratus daripada 270 pesakit baharu hari ini berada dalam kategori satu dan dua, tiga orang dalam kategori tiga, empat orang kategori empat dan lima pesakit dalam kategori lima,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.