Bung saran SOP rakyat Sabah dari Semenanjung diwajibkan buat ujian saringan diteliti semula

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berharap agar prosedur operasi standard (SOP) dimana ujian saringan diwajibkan ke atas rakyat Sabah yang kembali ke negeri ini untuk diteliti semula oleh pihak berkenaan.

Katanya, SOP terbabit dilihat membebankan dari segi kewangan khususnya rakyat Sabah di Semenanjung Malaysia yang ingin kembali ke negeri ini di samping kos sara hidup di sana telah semakin meningkat.

“Kos semakin meningkat dan mahal. Mana nak beli tiket mana nak ‘swab’. Kalau bujang atau berseorangan nak balik sendiri pun terpaksa bajet betul-betul.

“Bagaimana pula yang bersama keluarga? Kalau suami dan isteri ditambah anak empat orang bukankah kos terlalu tinggi dan meningkat?” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri itu turut berkata selepas melakukan ujian calitan, jadual penerbangan pula ditangguh ke hari lain manakala keputusan ujian calitan hanya boleh diguna tiga hari saja.

“Kena buat ujian ‘swab’ lepas itu dapat emel penerbangan di tangguh ke hari yang lain, keputusan ujian swab ini cuma pakai selama tiga hari, penerbangan seterusnya kena ‘swab’ lagi, keluar duit lagi.

“Saya harap pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain pihak yang bertanggungjawab, prihatin dan memahami keadaan serta kesan yang dihadapi oleh rakyat sabah yang perlu melalui keadaan seumpama ini.

“Sebab mereka ini bukan suka hati untuk pergi balik akan tetapi mereka terpaksa kerana ada sebab sebab tertentu yg perlu dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *