BN Sabah sokong keputusan Yang di-Pertuan Agong isytihar darurat tangguh PRK Bugaya
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengalu-alukan dan menyokong pengisytiharan darurat bagi menangguhkan pilihanraya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata keputusan terbabit adalah tepat dan ia adalah langkah yang sesuai berikutan ketika negara masih berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.
“BN dan UMNO Sabah menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
untuk pengisytiharan proklamasi darurat di DUN Bugaya sekali gus membatalkan serta menunda Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.
“Sebelum ini BN-UMNO Sabah telah mengambil keputusan untuk tidak meletakan calon bagi PRK Bugaya sekiranya PRK di kawasan ini diteruskan.
“Keputusan pengisytiharan darurat ini adalah tindakan yang perlu supaya tidak memburukan lagi krisis kesihatan dan mengelak dari kehilangan lebih banyak nyawa,” katanya.
Hari ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat terhadap Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif mengelak wabak COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata baginda berpuas hati bahawa adanya keperluan mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap dua kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pihaknya akur dengan pengumuman pengisytiharan Proklamasi Darurat membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah selain Parlimen Gerik, Perak.