Bakal dibincang bagi penerima vaksin luar masuk ke Sabah: Hajiji

Oleh: Zacherlyn E

KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan berbincang dalam mesyuarat dengan semua pihak terlibat seperti Majlis Keselamatan Negeri tentang membuka pintu Sabah bagi kemasukan orang luar yang sudah mendapatkan suntikan vaksin COVID19 dan mempunyai pasport vaksin COVID19.

“Kita akan berbincang dalam mesyuarat dengan pihak-pihak yang terlibat, termasuk pihak Kementerian Kesihatan, Pengarah Kesihatan Negeri dan lain-lain lagi untuk hal ini.

“Sebarang keputusan susulan untuk membenarkan orang luar yang sudah mengambil vaksin COVID19 dan mempunyai pasport vaksin itu akan diputuskan selepas meneliti dan mengambil kira semua aspek,” kata Hajiji ketika ditemui pemberita disini, petang tadi.

Menurut Hajiji lagi, vaksin COVID19 yang akan tiba di Sabah 25 Februari ini akan diberikan kepada golongan barisan hadapan dengan segera.

“Selepas vaksin itu tiba nanti, kita akan terus berikan kepada petugas barisan hadapan kita, pemimpin-pemimpin, menteri-menteri dan wakil-wakil rakyat,” katanya.

Tambah Hajiji lagi, proklamasi darurat yang diisytiharkan juga dilihat memberi kesan positif kepada Sabah khasnya dari segi penurunan kes dan keadaan semasa rakyat.

“Dengan pengisytiharan proklamasi ini, kita boleh lihat penurunan kes harian dalam negeri ini dan memang sekatan-sekatan yang dibuat itu memberi kesan positif dalam usaha membendung wabak COVID19 ini.

“Selain itu, rakyat juga dapat bekerja dan mencari rezeki yang kesannya membawa kepada kebaikan untuk mereka. Kita menyokong segala usaha dan menyambut baik semua langkah murni yang dilaksanakan dengan tujuan untuk mengawal COVID19,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *