Anak kapal MV Orbit Petra cetus kluster bahtera di Sabah

Masidi – Foto Bernama

KOTA KINABALU – Seorang anak kapal MV Orbit Petra menjadi pencetus kluster baharu direkodkan di Sabah pada Ahad apabila menjadi kes indeks bagi Kluster Bahtera di sini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, lelaki tempatan berusia 26 tahun itu menjalani ujian RTK saliva pada 12 Disember lepas apabila bergejala batuk dan hilang deria bau.

“Kes indeks telah dihantar ke pusat kuarantin hotel dari kapal untuk menjalani kuarantin dan ujian saringan ulangan pada hari berikutnya turut mengesahkan kes indeks positif dalam ujian RT PCR,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, hasil saringan selanjutnya mendapati 21 lagi anak kapal positif Covid-19 menjadikan kumulatif kes sebanyak 22 orang dan mereka telah diasingkan untuk diberi rawatan.

Sementara itu, jumlah kes positif Covid-19 pada adalah sebanyak 127 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 239,482 kes.

Daripada 127 pesakit itu, seramai 124 dalam kategori satu dan dua 2, tiada kes dalam kategori tiga dan kategori lima dan dua kes dalam kategori empat manakala Jabatan Kesihatan Negeri Sabah masih membuat penilaian ke atas satu kes lagi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.