Tinjau kesan pemindahan ibu negara Indonesia terhadap Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) akan mengadakan lawatan ke lokasi baharu ibu negara Indonesia di Kalimantan bagi meninjau kesan limpahan ekonominya terhadap Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata lawatan bersama perwakilan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP – EAGA) Sabah itu bagi melihat secara dekat kedudukan ibu negara baharu Indonesia yang dinamakan Nusantara itu.

Katanya, pemindahan ibu negara Indonesia di Kalimantan Timur itu mendapat perhatian dalam perbincangan pihaknya bersama dengan perwakilan BIMP – EAGA yang diketuai Perutusan Khasnya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pertemuan di sini, hari ini.

“Perbincangan turut menyentuh mengenai cadangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan dan kesan limpahan ekonomi ke atas Sabah serta cabaran yang akan datang. Kita akan membuat lawatan ke sana tidak lama lagi,” katanya selepas menerima kunjungan hormat perwakilan BIMP – EAGA Sabah.

Yang turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Jonnybone Kurum.

Dalam pertemuan itu, Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata pihaknya dan BIMP – EAGA Sabah turut berbincang mengenai potensi industri kelapa di Selatan Filipina dalam usaha memulihkan ekonomi, khususnya di wilayah ASEAN Timur.

Katanya, Sabah dan Sarawak juga memainkan peranan utama dalam menghidupkan semula BIMP-EAGA sebagai penyelesaian untuk pemulihan sosio ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dari segi ekonomi.

Selain aspek ekonomi, Maximus berkata isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjurus kepada soal keselamatan di Sabah, pekerja asing dari negara jiran dan perkembangan terkini BIMP – EAGA turut dibincangkan pada pertemuan itu. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *