Sabah Tuan Rumah World Tourism Conference (WTC 2022)

KOTA KINABALU: Sabah akan menjadi tuan rumah World Tourism Conference (WTC 2022) yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 28 hingga 30 November 2022.

Dengan tema “Tourism Futures Reimagined”, WTC 2020 mensasarkan seramai 700 orang delegasi antarabangsa dan tempatan, termasuk Menteri-menteri Pelancongan, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan, ahli akademik serta tokoh-tokoh industri pelancongan dari seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Hajiji di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini. (27 Julai)

Hajiji mengalu-alukan penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa itu diadakan di Sabah, berharap WTC 2022 akan melonjakkan lagi pemulihan industri pelancongan di negeri ini.

Menurut Nancy, penganjuran WTC 2022 akan dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kerajaan Negeri Sabah dan Sabah Tourism Board.

Katanya, WTC merupakan persidangan eksklusif anjuran Malaysia dengan kerjasama World Tourism Organization (UNWTO) diadakan setiap tiga tahun sekali.

Penganjuran buat kali ke-6 pada tahun ini adalah susulan daripada kejayaan penganjuran kali ke-5 siri WTC sebelum ini.

Beliau memaklumkan, semenjak penganjuran WTC di bandar Kota Kinabalu lebih 12 tahun yang lalu, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah buat kali kedua merupakan tanda pengiktirafan terhadap komitmen dan kepimpinan pihak kerajaan negeri yang sentiasa menerajui pembangunan sektor pelancongan sehingga berjaya meletakkan Sabah sebagai destinasi pelancongan utama di persada dunia.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri May Zain dan pegawai-pegawai kanan MOTAC. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.